Sunday, 26 January 2014

Ciri-ciri Etika Islam

Etika Islam mempunyai ciri-ciri yang istimewa yang tidak ada pada etika-etika yang lain. Antara perkara tersebut ialah:

i) Kebaikan Mutlak
Kebaikan mutlak merupakan ciri utama dalam Islam yang merupakan ciptaan Allah s.w.t. Kebaikan yang dihasilkan sungguh murni untuk individu, keluarga dan masyarakat. Ia sesuai untuk setiap tempat, zaman dan suasana. Etika murni yang disarankan oleh Islam adalah merupakan ibadah hamba kepada Penciptanya. Sebagai contoh, sifat pemurah yang dianjurkan oleh Islam merupakan suatu amalan pemberian secara ikhlas dan rahsia.

ii) Kebaikan Sejagat
Etika Islam menjamin kesejahteraan manusia sejagat tanpa membatasi tempat, suasana dan zaman. Kesejagatannya bermula daripada Allah s.w.t yang telah mencipta alam dan manusia. Ini kerana Allah s.w.t adalah Maha Mengetahui segala keperluan makhluk ciptaanNya terutama sekali manusia. Justeru, etika menepati fitrah manusia melewati batas keturunan, geografi, zaman dan sebagainya.

iii) Mudah
Etika yang ditetapkan oleh Islam adalah mudah dan serasi dengan jiwa manusia dan dapat diterima oleh akal, hati dan dalam lingkungan kemampuan manusia melakukannya.

iv) Mantap
Etika Islam sesuai sepanjang zaman dan untuk semua masyarakat. Sedangkan teori etika lain sentiasa berubah-rubah dan hanya mengikut situasi masyarakat, tempat dan zaman tertentu sahaja.

v) Pengawasan Yang Menyeluruh
Allah s.w.t mencipta manusia dan menggubal etika yang bersesuaian dengan cara hidup manusia. Etika Islam tidak memerlukan penguasaan dan pengawasan yang keras terhadap mereka yang melanggarinya. Pengawalan dan pengawasan hanyalah melalui keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Inilah yang menjadikan manusia berasa bersalah dan tertekan jika mereka melakukan etika yang keji. Etika yang bersumberkan al-Quran dan hadis serta berteraskan akidah dan syariah yang mantap mempunyai pengawasan yang menyeluruh mencakupi harta, sikap, hati, tenaga dan bahasa (Mustafa Hj. Daud, 1994 : 30-37).

No comments:

Post a Comment