Monday 27 January 2014

Akhbar : Berita Harian

TARIKH / DATE : 15-Jun-2005


TAJUK / TITLE : INTEGRITI ASAS KEKUATAN UTAMA HINDARI AMALAN RASUAH

________________________________________
Teks Keratan Akhbar

PERKHIDMATAN awam yang cekap dan telus adalah tulang belakang kepada
kerajaan tidak mengira di negara maju, mahupun membangun.Malaysia amat bertuah kerana mempunyai struktur perkhidmatan awam yangmantap dan banyak menyumbang kepada pembangunan negara.Bagaimanapun, seperti juga institusi lain, masih terdapat ruang untukdiperbaiki untuk sistem perkhidmatan awam kita menjadi lebih cekap,berkesan dan telus.

Contohnya, walaupun usaha diambil untuk mempertingkatkan perkhidmatan
kaunter di semua jabatan dan agensi kerajaan, aduan berkenaan perkhidmatan kaunter hadapan ini masih diterima. Masih terdapat kaunter
yang memberi perkhidmatan yang tidak memuaskan. Wujud juga masalah kelewatan dalam memberi perkhidmatan dan dalam mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima yang tidak selaras dengan piagam pelanggan.
Sebagai ahli profesional yang komited, pegawai kerajaan perlu memberi layanan yang sama rata dan adil kepada pelanggan, tanpa mengambil kira status pelanggannya dalam masyarakat.

Imej kerajaan, pada dasarnya, bergantung kepada kualiti, sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh pegawainya. Mereka perlu dilihat memberikan layanan mesra dan adil kepada orang awam. Pegawai perkhidmatan awam perlu komited dan mesra pelanggan. Institusi perkhidmatan awam yang dilihat sebagai cekap, telus dan bertanggungjawab akan membawa imej positif kepada kerajaan.

Orang awam, secara amnya mengetahui bahawa perkhidmatan awam banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan negara dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk pembaikan dari segi mencapai kecemerlangan, amanah, ketelusan dan kebertanggungjawaban. Pegawai kerajaan perlu sentiasa berusaha memperbaiki dan memperkenalkan pendekatan baru bertujuan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Rakyat kini lebih sedar mengenai hak mereka termasuklah hak untuk mendapat perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berkesan. Pegawai kerajaan harus mendukung hasrat dan berusaha mencapai 'aduan sifar'. Sementara kita mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik daripada pegawai kerajaan, kita juga tidak menafikan bahawa mereka harus diberi ganjaran lebih baik mengikut kemampuan kerajaan.

Etika dan nilai moral yang baik perlu menjadi keutamaan untuk sistem
perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan dipercayai. Pegawai kerajaan
perlu memupuk satu budaya yang akan membawa kepada sistem perkhidmatan awam yang berdedikasi, cekap dan berkesan, dengan memberi tumpuan kepada integriti pengurusan. Untuk mencapai objektif ini, budaya kerja itu perlu mendukung nilai etika dan disiplin yang tinggi, bertanggungjawab dan telus. Usaha yang berterusan harus dilakukan untuk memperkukuhkan integrity dan nilai etika ini kerana individu yang mempunyai sifat integriti yang tinggi, dalam apa juga keadaan, tidak akan membabitkan diri dalam amalan rasuah.

Pegawai perkhidmatan awam perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti, kejujuran dengan mengambil kira nilai etika dan
ketelusan. Pemupukan nilai etika dan moral yang baik di samping memperteguhkan ikrar pemerintahan yang baik adalah cara paling berkesan untuk membanteras amalan rasuah di dalam perkhidmatan awam.
Nilai moral dan etika bukan saja penting dalam perkhidmatan awam, malah
di semua sektor.

Pada dasarnya, menjadikan kejujuran dan integriti sebagai cara hidup dan membentuk budaya antirasuah adalah jalan paling berkesan untuk memerangi amalan ini.


TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment